EXCOSELANGOR

Kamera badan pantau tugas penguat kuasa, jamin keselamatan

SHAH ALAM, 15 FEB: Selangor mempertimbangkan penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa bagi merakam dan memantau tugasan untuk jaminan keselamatan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Mengakui kesal dengan insiden pertelagahan semasa tundaan kereta di Subang Jaya baru-baru ini, Ng Sze Han berkata penggunaan alat tersebut memudahkan siasatan jika berlaku situasi luar jangka.

“Amat mendukacitakan apabila perihal orang awam cuba menghalang anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas semakin menjadi-jadi.

“(Ia berlaku) tatkala pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa berusaha menyelesaikan aduan yang diterima daripada orang awam termasuk gesaan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Sze Han turut mengingatkan orang awam supaya tidak mengasari penguat kuasa dan segera membuat laporan kepada pengurusan PBT jika tidak berpuas hati.

“Anggota penguat kuasa pula perlu bertenang dan berhemah dalam apa jua keadaan dan melaporkan kepada polis sekiranya mengalami kekasaran sewaktu bertugas,” katanya lagi.

Kelmarin, satu rakaman video berdurasi 37 saat tular di media sosial memaparkan seorang warga emas tidak berpuas hati kerana kenderaannya ditunda dan bertindak memarahi serta memukul penguat kuasa dengan payung menyebabkan tindakannya dibalas.


Pengarang :