Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kejayaan filem ‘Parasite’ bukti nilai kreatif tidak dimonopoli

SHAH ALAM, 13 FEB: Kejayaan karya pengarah Korea Selatan, Bong Joon Ho, Parasite sebagai filem terbaik di Anugerah Oscar 2020 membuktikan nilai kreatif tidak dimonopoli sesebuah benua atau peradaban, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari melahirkan rasa bangga dengan kemenangan filem berkenaan sekali gus menganggap ia patut dicontohi oleh pembikin filem di rantau Asia.

“Inilah ombak kreatif ‘hallyu’ (gelombang Korea) yang merangkumi antaranya ‘K-pop’. Saya turut terkesan dengan nukilan Joon Ho yang memetik kata-kata pengarah terkenal, Martin Scorsese ketika menerima hadiah Oscar iaitu ‘the most personal is the most creative’,” tulisnya menerusi hantaran di Instagramnya semalam.

Terdahulu, Parasite berjaya mengalahkan beberapa filem besar lain seperti Ford vs Ferrari, The Irishman, Jojo Rabbit, Joker, Little Women, Marriage Story dan Once Upon a Time in Hollywood.

Selain filem terbaik, Parasite turut mengungguli kategori filem antarabangsa terbaik, pengarah terbaik serta lakon layar terbaik.

Ia adalah filem pertama dari Asia yang berjaya memenangi anugerah Oscar sejak diperkenalkan 92 tahun lalu.

Parasite mengisahkan kehidupan dua keluarga yang berbeza darjat serta mengetengahkan masalah sosial masyarakat hari ini.

Menerusi filem itu dipaparkan keluarga miskin begitu kreatif berjuang meneruskan kehidupan di bandar besar dengan menggunakan kelebihan yang dimiliki keluarga kaya.


Pengarang :