AGENDANASIONAL

Kematian akibat penyakit jantung terus meningkat

SHAH ALAM, 5 FEB: Kematian akibat penyakit jantung koronari meningkat hampir 100 peratus kepada 18,267 kes pada tahun lalu berbanding 9,371 kes pada 2010, kata Dr Lee Boon Chye.

Timbalan menteri kesihatan berkata penyakit berkaitan jantung atau kardiovaskular adalah fenomena membimbangkan di negara ini, lapor Berita Harian.

“Penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, obesiti dan hiperkolesterolemia tanpa kawalan serta gaya hidup tidak sihat ialah penyumbang utama berlaku peningkatan penyakit kardiovaskular,” katanya.

Penyakit jantung koronari berlaku akibat gangguan bekalan oksigen pada otot-otot jantung kerana penyekatan aliran darah daripada kerosakan dinding pembuluh darah dan pengumpulan kolestrol.

Rekod Kementerian Kesihatan turut menganggarkan 45,684 daripada 32.4 juta rakyat negara ini menderita penyakit jantung koronari sehingga kini.

Beliau berkata rakyat Malaysia turut direkodkan menghidap penyakit kardiovaskular pada usia jauh lebih muda berbanding negara lain dengan purata pada usia 58 tahun manakala di Thailand (68 tahun), Singapura (61 tahun), China (63 tahun) dan Amerika Syarikat (66 tahun).

Boon Chye berkata pembinaan Makmal Katerisasi atau lebih dikenali sebagai Cath Lab di Hospital Pantai Batu Pahat, Johor adalah satu tindakan tepat bagi membolehkan pengesanan dan rawatan awal boleh dilakukan penduduk sekitarnya.


Pengarang :