Pembangunan Kampung Baru dirancang bagi memastikan kawasannya lebih menarik dan teratur. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keputusan beli tanah Kampung Baru diumum Jun

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru dijangka dapat diumumkan pada Jun ini.

Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) masih mempergiat usaha memberi penerangan kepada pemilik tanah berhubung skim pilihan tawaran.

“Ini kerana, semua sesi keterlibatan secara kelompok kecil mendapat maklum balas positif. Kami dapati mereka memahami apa yang sebenarnya ingin kami lakukan, dan hasil daripada itu mereka memberikan persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan kira-kira 1,500 peserta Konvoi Bermotor pelbagai kuasa anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka semalam.

Dilaporkan pada Oktober tahun lepas, PKB menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk di situ berhubung pembangunan semula kawasan berkenaan.

Daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula dilapor berkata tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, Khalid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas sokongan terhadap pembangunan semula Kampung Baru.

Khalid menyifatkan tanda sokongan itu sebagai satu isyarat dan kepercayaan terhadap perancangan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) membangunkan ikon Kuala Lumpur tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :