Pengerusi Selcat Ng Suee Lim (tengah) bercakap ketika sidang media selepas Sesi Pendengaran Awam “Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis” di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Keputusan Selcat dibentang Mac depan

SHAH ALAM, 21 FEB: Keputusan berhubung prestasi pihak berkuasa tempatan dan ahli majlis pada sesi pendengaran awam semalam akan dibentangkan pada Sidang Dewan Negeri Selangor, Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Ng Suee Lim berkata hasil itu juga akan menjadi asas kepada penambahbaikan perkhidmatan untuk rakyat.

“Sesi pendengaran awam ini bukan bertujuan untuk menghukum ahli majlis, sebaliknya merungkai isu berbangkit memandangkan sejak awal mereka tidak mempunyai garis panduan atau penilaian khusus.

“Jika dibandingkan 10 tahun lalu, jawatan ahli majlis dianggap sebagai kerja sampingan sahaja dan kerja juga tidak dipantau.

“Tetapi sekarang rakyat bukan sahaja memantau wakil rakyat, sebaliknya ahli majlis juga dipantau kerana mereka turut menjadi medium rakyat untuk suarakan isu. Oleh sebab itu, ahli majlis zaman sekarang kena kerja kuat,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex.

Hadir sama anggota Selcat, Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.


Pengarang :