Sebahagian struktur kondomunium 37 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa Jalan Klang Lama runtuh pada 14 Februari lalu. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keputusan siasatan kondominium runtuh siap sebulan – menteri

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan siasatan ke atas sebahagian struktur kondominium 37 tingkat dalam pembinaan yang runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini Jumaat lalu dijangka siap dalam tempoh sebulan, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Beliau berkata pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berada di lapangan sejak insiden itu berlaku, mengumpul maklumat dan bukti untuk menjalankan siasatan dalam pelbagai aspek.

“Berkaitan insiden itu, saya ingin mengingatkan peserta industri pembinaan supaya mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan berkaitan pembinaan.

Adalah jelas mengikut akta semua pekerja perlu didaftarkan dengan CIDB selain daripada memastikan bahan binaan dan produk menepati standard tinggi di bawah Perakuan Pematuhan Standard’ (PPS),” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Portal Maklumat Pembinaan Sehenti CIDB – CONVINCE di sini, semalam.

CIDB sedang menyiasat insiden itu di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, iaitu, Seksyen 33D(1) mengenai Sijil Pematuhan Standard, Seksyen 33A(1) mengenai pendaftaran pekerja dan akreditasi dan Seksyen 25 (1) berkenaan pendaftaran kontraktor.

-BERNAMA


Pengarang :