AGENDANASIONAL

Keputusan SPM diumum 5 Mac

SHAH ALAM, 27 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 membabitkan 416,416 calon akan diumumkan 5 Mac ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula 10 pagi atau melalui perkhidmatan mySMS dengan menaip SPMAngka Giliran dan hantar ke 15888.

“Perkhidmatan akan mula diaktifkan pada 10 pagi, 5 Mac ini dan ditamatkan pada 6 petang, 11 Mac. Calon juga boleh menyemak keputusan melalui portal Lembaga Peperiksaan Malaysia di sppat.moe.gov.my/semakan,” kata kenyataan itu.

Kementerian berkata calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri, bergantung kepada tempat mendaftar ketika menduduki peperiksaan.

Seramai 416,416 calon mendaftar untuk menduduki SPM di seluruh negara dengan 357,010 calon adalah sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, 8,320 calon di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah menengah agama negeri (8,317), sekolah menengah agama rakyat (2,209), sekolah swasta (14,203) manakala calon persendirian (26,357).


Pengarang :