AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan percepat projek pelaburan RM21 bilion tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM21 bilion melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi awam bagi menangai impak penularan penyakit Covid-19.

Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion dengan tema “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” berkata langkah itu diambil bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan.

Beliau berkata, projek pelaburan untuk 2020 yang akan dipercepatkan termasuk oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) yang akan membuka bidaan jana kuasa tenaga solar 1,400MW.

“Ini akan melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan Syarikat Berkaitan Kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung,” kata beliau.

Menurut Dr Mahathir, langkah menggalakkan pelaburan berkualiti itu merupakan strategi ketiga pakej berkenaan yang turut menggariskan menangani impak Covid-19 sebagai strategi pertama manakala usaha memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat sebagai strategi kedua.

Beliau berkata, demi meningkatkan daya saing, kerajaan akan mempromosikan pelaburan sektor swasta dengan nilai tambah lebih tinggi melalui beberapa langkah.

“Pertama, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan,” katanya.

Kedua, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan aspek seperti yuran penyenaraian di papan Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE) serta syarikat yang bermodal pasaran kurang daripada RM500 juta yang mahu tersenarai dalam papan utama.

Langkah ketiga, kata beliau, Bank Negara Malaysia akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta.

“Keempat, kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

“(Langkah) kelima, kerajaan akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000 manakala keenam, mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 April, 2020,” kata beliau.

Pakej rangsangan ekonomi kali ini merupakan yang kedua diumumkan oleh Dr Mahathir selepas 2003 sewaktu beliau menjadi perdana menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Covid-19 mula menular ke seluruh dunia pada pertengahan Januari dan sehingga kini, kira-kira 80,000 orang di peringkat global telah dijangkiti Covid-19 dan meragut lebih 2,800 maut, terutamanya di China.

Walaupun kesan Covid-19 ketika ini adalah terkawal, namun penularannya telah memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :