Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melawat tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Centre, Pulau Indah, hari ini. Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Kapt K. Subramaniam (kanan). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia tidak halang kapal persiaran, kargo berlabuh

PELABUHAN KLANG, 13 FEB: Kerajaan tidak merancang untuk menyekat kapal persiaran atau kapal kargo daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini susulan penularan virus Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ini kerana setiap penumpang kapal persiaran akan melalui dua saringan kesihatan yang dijalankan oleh kerajaan dan operator kapal sebelum mereka dibenarkan turun daripada kapal.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat kerana sekiranya larangan terhadap mana-mana kapal persiaran atau kapal kargo daripada berlabuh di sini dikeluarkan, ia akan membawa impak buruk terhadap sektor pelancongan, dan ekonomi negara.

“Sebelum mana-mana kapal persiaran berlabuh di Malaysia, mereka terlebih dahulu perlu menghantar senarai nama penumpang dan melakukan saringan kesihatan awal. Jika didapati ada dalam kalangan penumpang menunjukkan gejala influenza atau COVID-19, mereka akan dikuarantin dan tidak dibenarkan turun daripada kapal.

“Di pelabuhan pula, setiap pintu masuk dilengkapi dengan pengimbas suhu badan ‘thermal scanner’. Bagi anak kapal kargo pula, pegawai kesihatan kita akan menaiki kapal berkenaan dan melakukan saringan sebelum mereka dibenarkan mendarat.

“Setakat ini, semua penumpang kapal persiaran dan kapal kargo yang berlabuh di pelabuhan seluruh negara adalah sihat, dan rakyat negara ini tidak perlu risau atau takut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Terminal Boustead Cruise Center di sini hari ini.

Tambah Loke, rakyat di negara ini juga tidak perlu bimbang dengan penularan Covid-19, kerana mana-mana pelancong yang dikesan tiba dari Wuhan dan Wilayah Hubei tidak dibenarkan masuk ke negara ini malah mereka terlebih dahulu perlu melepasi saringan keselamatan di China dan di pelabuhan utama, di mana kapal persiaran berkenaan beroperasi.

“Malaysia hanyalah sebuah ‘calling port’ di mana kapal persiaran ini singgah untuk sehari atau dua hari. Kebanyakan kapal persiaran yang singgah di sini beroperasi di pelabuhan di Singapura dan seperti kita maklum, Singapura telah mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi elak penularan Covid-19,” katanya.

Covid-19 adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019 yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata berkata ujian yang dijalankan terhadap 550 kontak rapat dan mereka yang bergejala di 18 makmal awam di negara ini mendapati hanya 18 disahkan positif bagi Covid-19. Tiga daripada 18 kes tersebut, telah sembuh sepenuhnya.

– BERNAMA


Pengarang :