Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada mesyuarat sempena kunjungan hormat Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Yeo Bee Yin di Bangunan Annex Shah Alam pada 4 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerjasama MESTECC-Selangor atasi pembakaran terbuka di Johan Setia

SHAH ALAM, 4 FEB: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Selangor memperkukuh kerjasama sebagai persediaan membanteras pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang terutama ketika kemarau antara Mac hingga Ogos.

Dalam kenyataan bersama, kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak Januari lalu mengaktifkan pelan tindakan pembakaran terbuka kebangsaan serta pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan kebakaran tanah gambut.

“JAS mempertingkatkan kekerapan rondaan harian dan pemantauan melalui dron bagi mencegah aktiviti pembakaran terbuka selain memantau status kualiti udara melalui stesen bergerak di Johan Setia,” katanya.

Sebelumnya, menteri berkenaan Yeo Bee Yin bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan di Bangunan Annex, di sini berhubung perkara tersebut.

Terletak lebih kurang 15km di selatan Shah Alam dan 10km di tenggara bandar Klang, Johan Setia merupakan kawasan pertanian seluas 4,000 ekar.

Dikelilingi kawasan berpenduduk padat, kawasan itu merupakan tanah gambut yang makin kerap berlaku pembakaran terbuka sejak tiga tahun lalu.

Berdasarkan statistik JAS, 55 aduan kebakaran terbuka dilaporkan pada 2017, 85 aduan pada 2018 dan 95 aduan tahun lalu. Sebanyak 45 notis arahan, 13 tawaran kompaun dan tiga kertas siasatan dibuka bagi kes pembakaran di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri bertanggungjawab menerajui pelan pencegahan pembakaran terbuka dan penguatkuasaan bersepadu melalui penglibatan lapan agensi iaitu:

(i) Majlis Perbandaran Klang (MPK) – memastikan pembakaran sisa buangan pertanian di tapak pelupusan sampah haram dibanteras sepenuhnya

(ii) Jabatan Pertanian Negeri Selangor – melaksanakan program kesedaran melibatkan semua pengusaha dan pekebun bagi mengelakkan pembakaran sisa buangan pertanian atau bagi tujuan menyuburkan tanah

(iii) Pejabat Daerah Tanah Klang – mengambil tindakan rampasan tanah di bawah Seksyen 127, Kanun Tanah Negara 1965 ke atas pemilik tanah (individu) yang didapati berulang kali terlibat dengan pembakaran terbuka

(iv) Jabatan Imigresen Negeri Selangor bersama-sama dengan JAS, MPK dan agensi lain melaksanakan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras pekerja asing tanpa izin yang sering terlibat dengan pembakaran terbuka

(v) Polis Diraja Malaysia – membantu melaksanakan rondaan, penguatkuasaan dan tangkapan ke atas pelaku pembakaran

(vi) Jabatan Pengairan dan Saliran memantau paras air di lima unit sekatan saliran (check dam) bagi mengekalkan kelembapan tanah dan mencegah kebakaran

(vii) Jabatan Mineral dan Geosains memastikan kesiapsiagaan dua unit telaga tiub air tanah bagi membantu pemadaman kebakaran sekiranya berlaku

(viii) Jabatan Bomba dan Penyelamat bersiap siaga untuk operasi pemadaman serta-merta sekiranya berlaku insiden kebakaran

Menteri kemudian mengadakan lawatan ke Johan Setia selepas selesai mesyuarat.

 


Pengarang :