Penumpang memakai topeng muka sebagai perlindungan ketika tiba dari Shenzhen ke Hong Kong di stesen MTR Lo Wu, beberapa jam sebelum penutupan persimpangan sempadan Lo Wu di Hong Kong pada 3 Februari 2020 susulan penularan koronavirus yang bermula di Wuhan, China. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes ke-19 di Malaysia, wanita China positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Satu lagi kes positif virus Covid-19 disahkan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 19, setakat 3 petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaharu itu membabitkan seorang wanita warga China berumur 39 tahun yang merupakan rakan kepada kes ke-14 dan anak kepada kes ke-16.

Beliau berkata wanita itu bersama empat individu lain tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari lepas.

“Sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif (kes ke-14 dan 16), masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari wanita itu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemantauan.

“Hasil pemantauan berterusan terhadap wanita itu oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai, mendapati beliau mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata wanita itu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya.

Beliau berkata ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19 yang dijalankan terhadap wanita itu dilaporkan positif pada hari yang sama.

“Wanita itu kini dimasukkan ke wad isolasi di HKL dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Kementerian Kesihatan (KKM) digerakkan sejak 6 Feb, susulan Misi Bantuan Kemanusiaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari Wuhan, China pada 4 Februari.

Katanya, pasukan itu memberi perkhidmatan sokongan psikososial kepada individu yang diletakkan di bawah perintah pemantauan, petugas KKM dan agensi lain yang turut sama terlibat.

“Aktiviti termasuk sesi bantuan asas psikologi (PFA) kelompok dan individu, kaunseling dan rujukan kepada pakar sekiranya perlu.

“Buat masa ini, terdapat dua kes dirujuk untuk menerima rawatan lanjut, kerana stres akut dan keresahan. Mereka diberikan ubatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Bantuan PFA turut diberikan kepada anggota kesihatan di lapangan, meliputi anggota kesihatan yang mengendalikan kes di wad isolasi hospital terlibat, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :