ALAM SEKITAR & CUACABERITA UTAMANASIONAL

Ketengahkan lebih banyak pelancongan pengalaman

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Pemain industri pelancongan perlu mengetengahkan produk berasaskan pelancongan pengalaman atau ‘experiential tourism’ kerana mampu menarik kemasukan pelancong berkualiti, sekali gus menjana pendapatan lumayan jangka panjang kepada negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata ramai tidak menyedari pelancongan jenis itu mempunyai permintaan tinggi khususnya bagi Malaysia yang kaya dengan keunikan flora dan fauna serta hutan hujan tropika dijaga  baik.

Sehubungan itu, beliau menggesa lebih ramai pemain industri meneroka dan menceburi cabang pelancongan itu yang semakin popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

“Fokus sektor ini adalah keinginan pelancong. Ada pelancong sanggup berbelanja lebih untuk menikmati dan alami suasana percutian dikelilingi alam sekitar yang nyaman dan bersih serta melihat lebih dekat hidupan yang pelbagai.

“Mereka ini golongan pengembara yang cintakan alam sekitar dan sanggup membayar lebih kerana menganggapnya sebagai ‘conservation fund’ (dana pemuliharaan) bagi memastikan negara terus memelihara kelestarian sesebuah kawasan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Pelancongan pengalaman adalah cabang pelancongan yang tertumpu kepada pengalaman berada di sesuatu negara, bandar atau tempat tertentu dengan mendalami suasana, sejarah, masyarakat tempatan, budaya, makanan dan alam sekitar.

Musa berkata ada pelancong sanggup berbelanja sehingga RM7,000 bagi menikmati pakej menerokai laluan hutan atau lawatan safari bagi melihat hidupan liar seperti orang utan, gajah dan burung.

Beliau berkata walaupun tarikan pelancongan utama seperti melawat kawasan popular tetap penting bagi industri pelancongan Malaysia, namun ‘experiential travels’ (pengembaraan pengalaman) semakin popular dan peluang itu perlu diambil sebaik-baiknya.

Mengulas lanjut, Musa berkata lebih unik ialah kaedah promosi atau publisiti pelancongan jenis itu yang lebih meluas dan menjimatkan kos, iaitu menerusi perkongsian testimoni ‘daripada mulut ke mulut’.

“Selepas mereka merasai pengalaman di sesuatu negara, mereka kongsikan pengalaman itu sebagai testimoni kepada komuniti tempatan di negara asal, malah komuniti antarabangsa.

“Jika tidak secara mulut ke mulut, mereka akan berkongsi kisah mereka menerusi laman media sosial seperti Instagram atau Twitter yang secara langsung memberi promosi lebih luas,” tambahnya.

Beliau berkata antara cara terbaik bagi pelancong merasai kehidupan autentik Malaysia adalah dengan mendaftar masuk ke kampung yang menyediakan penginapan inap desa.

Jelas Musa, menerusi kaedah itu pelancong dapat pengalaman menyertai aktiviti tradisional dan harian keluarga seperti menanam padi, mencanting batik, bermain alat muzik tradisional, menyertai tarian asli serta menonton wayang kulit.

Selain itu, katanya kepelbagaian bangsa dan budaya di Malaysia menjadi tarikan utama pelancong merasai pengalaman kebudayaan unik seperti menyertai festival perayaan dan makanan tradisonal.

“Pelancong mahukan kenangan yang tidak dapat dilupakan menerusi pengalaman di Malaysia berbanding hanya melawat tempat menarik,” katanya.

Musa optimis pelancongan pengalaman di negara ini akan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelancong asing dan tempatan, sekali gus merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

-BERNAMA

 


Pengarang :