Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Keunikan 5 masjid di Selangor

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah erkenal dengan keindahan seni binanya hingga dianggap bangunan ikon. Namun, ada banyak masjid lain yang juga tersergam indah di Selangor. Wartawan NAZLI BRAHIM menceritakan keunikannya berdasarkan tanggapan umum.

Masjid Diraja Sultan Suleiman


Diasaskan Sultan Alauddin Suleiman Shah, ia dibina pada 1932 dengan nama Masjid Sultan Sulaiman Jamiur Rahman sebelum ia ditukar pada 1932.

Menampilkan peradaban Timur dan Barat, rekaan arkitek Belanda, L Keste Ven terserlah pada jeriji besi yang ada pengaruh Rom dan Itali.

Berbentuk segi lapan, ia dilengkapi kubah utama separuh bulat selain beberapa kubah dan empat lagi di anjung.

Mimbarnya diperbuat daripada kayu dan logam. Ada kubah kecil dan 11 anak tangga menghubungkan kerusi bacaan khutbah.

Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah

Sesuai dengan taraf masjid diraja, Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah antara pilihan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah mengadakan istiadat Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena hari keputeraan baginda.

Dibina pada 2013, ia mampu memuatkan 4,000 jemaah pada satu-satu masa. Reka bentuknya bercirikan binaan tradisional Islam Timur Tengah dengan ukiran ayat al-Quran di pintu masuk utama. Di dewan solat, terhampar permaidani merah dan lampu ‘candeliar’ seperti masjid di Istanbul, Turki.

Masjid As-Salam

Dengan 70 peratus binaan terletak di tasik, masjid yang dianggap mercu tanda di Puchong Perdana juga dikenali sebagai masjid terapung. Pengunjung berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam kala senja.

Kubah utama, dua kubah kecil, menara dan mihrabnya sentuhan seni reka Timur Tengah. Kombinasi warna emas pada kubah dan bangunan bercat kuning menambah keunikannya.

Masjid Dato’ Dagang


Dibina pada 1876 di Kampung Jawa, Mukim Bukit Raja Klang, nama masjid itu bersempena gelaran Raja Mahadi kepada pengasas kampung, Haji Muhammad Tahir Haji Mahmud.

Ragam hiasnya dipengaruhi seni bina Indonesia dan dianggap mirip Masjid Agung Demak di Jawa. Atapnya bersegi empat sama dan disusun bertingkat tiga yang dipanggil Bumbung Atap Tumpang kerana ia “bertumpang-tumpang” atau bertangkup antara satu sama lain.

Dinaik taraf beberapa kali, sebahagian struktur asal masjid antara tertua di Selangor dikekalkan termasuk empat tiang cengal di tengah masjid. Beduk, ketung dan pinggan mangkuk China antara peninggalan lain. Di perkarangan, ada banyak makam lama.

Masjid Syeikh Ismail

Diperbuat daripada kayu dan zink pada 1926 di Kampung Simpang Tiga, Mukim Ulu Bernam, Hulu Selangor. Dikenali sebagai Masjid Tua, ia didirikan Syeikh Ismail, ulama dari Langkat, Sumatera.

Rekaannya menampilkan ciri-ciri Melayu tradisional termasuk bumbung bervariasi limas, cucur atap dan tunjuk langit selain dilengkapi loteng. Mimbarnya ringkas dan masih digunakan.


Pengarang :