Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid ketika Mesyuarat Bulanan Majlis Daerah Kuala langat (MDKL) di Bilik Mesyuarat Cempaka Kuning, Banting pada 25 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kilang kertas beri impak ekonomi Kuala Langat

BANTING, 25 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menjangka pembinaan kilang kertas oleh pelabur antarabangsa akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat kepada penduduk setempat, kata yang dipertuanya.

Mohamad Zain A Hamid berkata selain peluang pekerjaan, perancangan itu juga akan membuka ruang perniagaan kepada peniaga tempatan seperti premis makanan dan pemilik kediaman bagi tujuan sewaan kepada pekerja luar.

“MDKL mahu pekerja tempatan diberi keutamaan apabila kilang itu mula beroperasi dan pada masa sama, kita juga sedang mengkaji impak positif dan negatif pembinaannya daripada Jabatan Alam Sekitar,” katanya selepas mesyuarat penuh MDKL di sini hari ini.

Pada Januari tahun lalu dilaporkan, pengeluar kertas terkemuka China, Zhejiang Jingxing Paper Joint Stock Co Ltd bercadang melabur AS$299.4 juta (RM1.2 bilion) bagi membina kilang pengeluaran kertas papan pulpa dan pembungkusan di Selangor.

Cadangan pembangunannya adalah bagi pengeluaran kertas papan pulpa dengan kapasiti tahunan 800,000 tan dan 600,000 tan bagi kertas pembungkusan.


Pengarang :