Antara produk Energy Candy yang dirampas KKM. Foto laman sesawang KP Kesihatan
AGENDANASIONAL

KKM rampas 434,742 paket produk Energy Candy

SHAH ALAM, 18 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 434,742 paket produk Energy Candy bernilai RM131,340.70 dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penguatkuasaan di 160 premis pemborong itu bagi memastikan produk mengandungi racun berjadual Tadalafil tidak dijual di pasaran.

“KKM ingin menegaskan sekali lagi kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini supaya menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM semalam mengesahkan produk ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy mengandungi Tadalafil yang tidak dibenarkan ditambah dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan bagi merawat pesakit mengalami masalah mati pucuk.

Pihak yang menjual produk tersebut boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.


Pengarang :