Selangorkini
AGENDA JENAYAH

Konsesi balak: Musa mohon batal 46 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman memohon untuk membatalkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini bahawa Musa selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 12 Februari lepas atas alasan pertuduhan dihadapinya tidak berasas.

Umar Saifuddin berkata pihak pembelaan juga telah memfailkan satu lagi permohonan pada tarikh sama untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan berhubung peruntukan Seksyen 82 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Pihak pendakwaan dan pembelaan memohon mahkamah memberi masa dua minggu untuk kami memfailkan afidavit jawapan serta balasan dan kami juga memohon sedikit masa untuk memfailkan hujahan,” katanya.

Muhammad Jamil menetapkan dua minggu untuk kedua-dua pihak memfailkan afidavit dan hujahan masing-masing manakala 22 dan 23 April ditetapkan untuk mendengar kedua-dua permohonan Musa itu.

Peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Musa memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 8 Jun ini dilapangkan sehingga kedua-dua permohonan itu selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 14 hingga 18 September, 21 hingga 24 September, 26 hingga 30 Oktober dan 10 hingga 27 November.

Sementara itu, Umar Saifuddin ketika ditemui pemberita berkata pihak pembelaan mencabar peruntukan di bawah Seksyen 82 (2) itu yang memberi kuasa kepada pegawai diplomatik untuk mengeluarkan sijil perakuan supaya pertuduhan pengubahan wang haram boleh dikemukakan terhadap individu di mahkamah di negara ini walaupun kesalahan dilakukan di luar negara.

“Pembelaan mendakwa perakuan oleh pegawai diplomatik kita di Hong Kong telah menyalahi Perlembagaan kerana tindakan itu dilihat mencampuri bidang kuasa Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan atau mengemukakan apa-apa pendakwaan,” katanya.

Umar Saifuddin berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan 50 hingga 60 orang saksi yang kebanyakannya dari Sabah.

Bagi kes rasuah, Musa, 69, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Bagi kes pengubahan wang haram, pertuduhan pertama dan ke-16, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.

Beliau juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima AS$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh manakala bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama.

– BERNAMA


Pengarang :