Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Koronavirus 2019: Kerajaan pertimbang tambah peruntukan kesihatan

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Bagi menghadapi kesan penularan koronavirus 2019 yang kini dikesan di 24 negara termasuk Malaysia, kerajaan sedang menimbangkan pakej rangsangan yang bukan sahaja memberi suntikan kepada ekonomi, tetapi juga memberi keutamaan terhadap keperluan yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi tahun 2020, peruntukan RM227 juta disediakan untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan buat semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“MEA bersedia untuk menimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan. Kerajaan akan beri keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mengambil beberapa langkah bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menangani jangkitan koronavirus 2019 selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang pada Khamis lalu mengumumkan kecemasan kesihatan awam global susulan penularannya.

Sehingga semalam, seramai 259 orang mati akibat wabak koronavirus itu di China dan hampir 12,000 kes dikesan di seluruh dunia.

Mohamed Azmin berkata sekiranya penularan koronavirus 2019 dalam tempoh masa yang panjang dan memberi kesan ke atas ekonomi China, ekonomi Malaysia juga akan terjejas memandangkan China adalah antara rakan dagangan terpenting Malaysia.

Antara sektor yang dijangka menerima kesan adalah sektor pelancongan, penerbangan (airlines), pengangkutan, pendidikan, pembuatan dan pembinaan.

Tahun lepas, Malaysia menerima hampir 26 juta pelancong dan lebih daripada tiga juta orang merupakan pelancong dari China.

Sektor pelancongan menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Di samping itu, sektor pembuatan dan pembinaan yang bergantung kepada input dari China juga dijangka terkesan sekiranya China memanjangkan tempoh kuarantin atau menambahkan bilangan bandar yang akan ditutup bagi menyekat penyebaran wabak di republik itu.

“Dalam hal ini, kerajaan bersama-sama dengan agensi antarabangsa dan pihak swasta akan mengambil langkah proaktif berasaskan kepada fakta dan maklumat terkini bagi mengurangkan kesan negatif penularan 2019-nCoV ke atas ekonomi Malaysia,” tegasnya.

Bagi memastikan kesiapsiagaan negara menangani penularan koronavirus itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata kerajaan bertindak meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai langkah kesihatan yang perlu diambil dalam menangani wabak itu.

Beliau menasihati rakyat agar mendapatkan maklumat dan berita terkini daripada sumber rasmi kerajaan, khususnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mohamed Azmin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak khususnya pakar, doktor serta warga Kementerian Kesihatan dan anggota keselamatan yang berada di barisan hadapan bekerja keras serta berkorban tenaga dan masa untuk memerangi koronavirus 2019.

“Marilah kita berdoa semoga negara Malaysia dan rakyat Malaysia akan terus dilindungi daripada sebarang jenis wabak dan bencana. Rakyat sihat, ekonomi dipacu, negara maju,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :