Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan koronavirus di Kementerian Kesihatan pada 6 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Koronavirus: Ambil langkah pencegahan awal semasa Thaipusam

PUTRAJAYA, 6 FEB: Penganut Hindu dan pengunjung yang mahu menyertai sambutan Thaipusam Sabtu ini dinasihat mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak kemungkinan jangkitan koronavirus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka diminta mengutamakan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer) serta memakai penutup mulut dan hidung.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menasihatkan elakkan hadir bagi mereka yang tidak sihat tetapi jika mahu hadir juga mereka perlu mengambil langkah pencegahan, pakai topeng mulut dan hidung,” katanya pada sidang media harian situasi terkini koronavirus di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata Pusat Operasi Perubatan yang diselaraskan Hospital Selayang juga akan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan bagi mencegah, membendung dan bertindak balas bagi sebarang insiden yang mungkin berlaku.

Thaipusam akan disambut Sabtu ini dan Batu Caves, Selangor antara lokasi yang dijangka menerima kunjungan 15,000 penganut selain sambutan di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata KKM kini masih dalam fasa pembendungan dan berharap situasi tersebut kekal dalam menangani penularan koronavirus di negara ini.

“KKM kini berada dalam fasa pembendungan dan kita sedang menguji lebih ramai orang bermakna kita belum masuk ke tahap mitigasi antaranya tidak cukup katil di hospital, tidak cukup makmal untuk ujian atau fasiliti hospital tidak mampu menampung (pesakit). Kita harap tidak jumpa situasi sebegini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :