AGENDANASIONAL

Koronavirus: Belum ada pelajar tajaan Mara di China mohon balik

KUANTAN, 3 FEB: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menghubungi kedua-dua penuntut tajaannya di China bagi mengetahui status mereka berikutan penularan wabak novel koronavirus 2019 di negara itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata mereka adalah penuntut tahun akhir jurusan bahasa di Beijing Foreign Studies University.

“Kita tidak mempunyai ramai penuntut di China kerana kita banyak menaja penuntut ke Korea dan Jepun… bagaimanapun, untuk dua penuntut di China itu, kami sentiasa berhubung bagi mendapatkan perkembangan terkini mereka.

“Setakat ini, kedua-dua mereka juga masih belum membuat permintaan untuk pulang atau mahu menangguhkan pengajian. Jika ada, kita sedia melihat permohonan itu berpandukan kepada dasar sedia ada,” katanya.

Rina berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Penyerahan Watikah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Pahang di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Rina berkata jika pelajar terlibat memilih untuk pulang, mereka adalah tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk perlu mematuhi syarat kuarantin setibanya di Malaysia.

Pada majlis itu, Rina menyampaikan watikah pelantikan kepada 276 daripada 542 anggota MPKKP di Pahang.

Selain itu, maklumat dan langkah pencegahan koronavirus dan influenza juga diterangkan secara menyeluruh di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi pendidikan di bawah MARA.

Mengulas mengenai pelantikan MPKKP di Pahang, Rina berkata tindakan itu tidak bertindih dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) yang ditubuhkan kerajaan negeri Pahang yang masih di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“MPKKP ini adalah suara rasmi kerajaan Persekutuan di peringkat akar umbi supaya mereka lebih faham dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dan mereka ini juga akan menyampaikan permasalahan yang dihadapi untuk tindakan kita.

“Apabila MPKKP ini memainkan peranan dengan baik, rakyat yang mendapat manfaatnya kerana ada bantuan yang dibuat menerusi kerajaan Persekutuan yang lebih menyeluruh dan dibuat tanpa fahaman politik,” katanya.

Rina berkata mereka yang dilantik sebagai MPKKP perlu menjalani kursus induksi yang antara lain meliputi modul penerangan fungsi MPKKP serta cara mewujudkan profil kampung yang boleh digunakan untuk merancang kewangan kampung bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.

-BERNAMA


Pengarang :