Seorang pegawai kesihatan memeriksa penumpang dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada 22 Januari 2020 ketika pihak berwajib meningkatkan pemeriksaan terhadap koronavirus. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Koronavirus: Dua kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan 45

SINGAPURA, 11 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan dua lagi kes positif koronavirus 2019 dikesan di republik itu, menjadikan angka keseluruhan jangkitan berjumlah 45 kes.

Menurut maklumat terkini MOH, kes pertama melibatkan seorang lelaki warga Singapura berumur 37 tahun yang bekerja di Certis Cisco Centre dan bertugas ketika Chingay 2020.

Kes kedua melibatkan kanak-kanak warga Singapura berumur dua tahun yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Januari.

Menurut MOH, seorang lagi pesakit dibenarkan keluar hospital semalam menjadikan jumlah yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan seramai tujuh.

Daripada 38 pesakit disahkan positif jangkitan virus yang masih berada di hospital, kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil atau semakin pulih sementara tujuh berada dalam keadaan kritikal, katanya.

Menurut MOH, daripada 23 jangkitan tempatan, siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak menunjukkan terdapat hubungan antara 15 kes dengan tiga kes kluster yang diketahui setakat ini.

-BERNAMA


Pengarang :