Wabak koronavirus 2019 punca cecair pembasmi kuman habis di pasaran di negara ini. Foto BERNAMa
RENCANAWAWANCARA

Koronavirus: Langkah awal pencegahan mampu lindungi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Masyarakat khususnya ibu bapa perlu menerapkan nilai kebersihan termasuk langkah pencegahan bagi melindungi anak-anak mereka lebih-lebih lagi ketika Malaysia berdepan dengan isu penularan jangkitan koronavirus 2019.

Pakar perunding penyakit berjangkit Datuk Dr Christopher Lee berkata langkah berjaga-jaga boleh diambil bagi mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan.

“Risiko untuk kanak-kanak mendapat jangkitan koronavirus sama seperti golongan dewasa dan untuk itu langkah pencegahan yang sama turut terpakai kepada mereka.

“Dalam hal ini, ibu bapa dan pihak sekolah sebagai contoh boleh mengingatkan anak-anak supaya sentiasa basuh tangan menggunakan pembasmi kuman, jangan menyentuh bahagian mata, hidung dan mulut tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.

“Usaha sebegini lama-kelamaan akan menjadi amalan dan budaya. Ini dapat membantu mengelak sebarang jangkitan kuman atau penyakit dalam kalangan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya kita juga lebih bersedia (jika berlaku penularan penyakit berjangkit),” katanya kepada kepada Bernama.

Dr Lee sebelum ini merupakan Ketua Perkhidmatan bagi Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh dan bertanggungjawab mengetuai pasukan klinikal semasa Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), virus Influenza A H1N1, Ebola dan wabak Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Koronavirus 2019 mula dikesan pada Disember 2019 di Wuhan, China yang boleh menyebabkan radang paru-paru. Gejala penyakit ini adalah demam, batuk dan kesukaran bernafas.

Pegawai kesihatan Malaysia ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 apabila pihak berkuasa meningkatkan kawalan untuk mencegah koronavirus. Foto AFP

Sehingga 4 Februari Malaysia mencatat 10 kes jangkitan yang disahkan dengan seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

Seorang kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah bagi koronavirus 2019 malam tadi (4 Februari) dibenarkan pulang setelah sembuh dengan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif.

IMUNITI RENDAH

Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail yang turut berkongsi pandangan mengenai penyakit koronavirus ini berkata langkah pencegahan untuk kanak-kanak juga boleh dijalankan sama seperti langkah pencegahan untuk influenza atau penyakit pernafasan yang lain.

“Sehingga kini tiada kes kematian disebabkan koronavirus dalam kalangan kanak-kanak namun memandangkan sistem imuniti mereka rendah berbanding orang dewasa yang normal, kita menjangkakan risiko komplikasi penyakit yang bakal dihadapi mungkin lebih teruk terutama jika mereka menghidap pneumonia.

“Selain menggalakkan anak-anak mencuci tangan menggunakan sabun, mereka juga perlu dielakkan daripada individu yang kurang sihat dan tidak dibawa ke tempat yang sesak dan ramai orang. Janganlah sengaja mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit yang kita sebenarnya sudah tahu risiko serta puncanya,” katanya.

Menjawab persoalan adakah masyarakat khususnya ibu bapa perlu bimbang akan jangkitan koronavirus terhadap kanak-kanak, Dr Zulkifli yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik berkata: “Jika berlaku penularan virus dalam masyarakat kita, maka kita memang perlu risau. Seperti SARS dahulu, kanak-kanak jarang dijangkiti tetapi apabila ‘terkena’ risikonya lebih besar kerana faktor imuniti di samping saiz paru-paru yang lebih kecil.

“Secara amnya penyusuan susu ibu dan vaksinasi amat digalakkan sebagai kombinasi terbaik bagi peringkat bayi. Untuk kanak-kanak pula, mereka perlu diberi makanan seimbang supaya sistem pertahanan badan mereka kuat dan mampu melawan jangkitan kuman atau penyakit,” katanya.

Dr Zulkifli menambah orang dewasa yang mempunyai penyakit seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan lain-lain, lebih berisiko untuk mendapat komplikasi penyakit yang lebih teruk termasuk maut, disebabkan jangkitan koronavirus.

PATUHI NASIHAT

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pemakaian topeng muka sebagai antara langkah pencegahan, Dr Lee yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan) berkata meskipun tiada keperluan bagi orang ramai untuk menggunakannya ketika ini namun ia dapat membantu dalam situasi tertentu.

Pemandu menungga bas untuk memindahkan warga Bagladesh keluar dari Wilayah Wuhan yang dilanda wabak koronavirus 2019 pada 1 Februari 2020. Foto AFP

“Jika tiada penularan wabak dalam kalangan masyarakat tempatan, tak perlu pakai topeng muka. Namun begitu, pemakaian topeng muka mungkin perlu bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan sistem respiratori termasuk demam, batuk dan terpaksa keluar rumah dan berada di tempat yang sesak dengan orang ramai,” katanya.

Dr Lee menambah sistem pengurusan kesihatan di negara ini berada pada tahap yang baik dengan Kementerian Kesihatan berpengalaman dalam mengendalikan wabak berbahaya seperti SARS, virus Nipah serta Ebola sebelum ini.

“Kementerian Kesihatan mematuhi semua syor yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di samping agensi terlibat turut menyediakan perkhidmatan yang diperlukan bagi menangani penularan jangkitan koronavirus.

“Masyarakat perlu maklum perkara ini bukan mudah. Untuk itu amatlah penting bagi semua pihak bekerjasama dalam menghadapi situasi ini termasuk mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Sentiasa peka dengan keadaan dan laporan dari semasa ke semasa dan paling utama jangan mudah percaya berita tidak benar yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana ia hanya akan memburukkan keadaan,” katanya.

PERLU KAJIAN LANJUT

Meskipun tempoh kuarantin bagi pesakit yang disahkan menghidap virus berkenaan lazimnya mengambil masa kira-kira dua minggu, beliau bagaimanapun berkata jangka masa untuk pesakit sembuh adalah berbeza, bergantung kepada jenis dan tahap komplikasi yang dihadapi.

Pegawai kesihatan memeriksa penumpang dari China dengan mesin pengimbas di lapangan terbang antarabangsa Changi di Singapura pada 22 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan langkah mencegah koronavirus. Foto AFP

“Untuk memastikan sama ada mereka yang sembuh daripada virus berkenaan akan bebas sepenuhnya daripada jangkitan sama pada masa akan datang, ia memerlukan lebih banyak kajian bagi mendapatkan data yang tepat.

“Wabak yang berlaku di China dijangka sekurang-kurangnya berterusan selama beberapa bulan lagi, jika mereka boleh mengawal penyakit itu. Impak penuh kesihatan hanya dapat diketahui apabila kita menerima butiran lanjut, termasuk apakah kadar kematian yang sebenar kerana banyak kes ringan atau kes tanpa gejala tidak diuji di China kerana jumlah yang banyak (berlaku serentak).

“Pada masa ini, dengan data semasa yang ada, penyakit ini nampaknya lebih berjangkit tetapi kurang teruk daripada SARS. Keadaan ini akan bertambah jelas apabila kami memperolehi lebih banyak data, “ katanya.

Ditanya berhubung penggunaan dos nelfinavir yang dikatakan mampu mengubati wabak koronavirus, beliau berkata masih belum ada kepastian mengenai perkara itu.

“Mereka yang terlibat cuba merawat pesakit menggunakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat HIV, yang sebelum ini turut digunakan semasa SARS termasuklah lopinavir. Ia bagaimanapun bukanlah rawatan yang diiktiraf kerana masih dalam kajian dan penyelidikan,” katanya.

ISYTIHAR DARURAT

– WHO pada 30 Januari lepas mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan koronavirus 2019.

– Pengisytiharan itu dibuat dalam sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang berlangsung di Geneva.

– Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata perkara yang amat membimbangkan adalah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

– Awal pagi semalam (4 Februari) pesawat AirAsia AK8264 yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) selamat membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang menjadi punca merebaknya wabak koronavirus 2019.

– Dilaporkan serama 133 orang berada dalam pesawat berkenaan. Daripada jumlah itu, 107 orang (88 rakyat Malaysia dan 19 orang pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara) adalah individu yang terkandas di wilayah Hubei.

– Turut serta dalam penerbangan itu adalah enam orang pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, lapan petugas misi dan 12 kru penerbangan.

– Sebaik sahaja mendarat di KLIA, mereka dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan. Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, dua orang tidak melepasi tapisan kesihatan itu, dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Pengarang :