AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Koronavirus: Masjid tumpuan pelancong terima pembersih tangan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kerajaan mengagihkan pembersih tangan dan tisu basah kepada masjid tumpuan pelancong di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan koronavirus 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata usaha itu bagi memastikan masjid tumpuan pelancong terpelihara daripada jangkitan wabak berkenaan.

“Kita memilih Masjid Jamek Sultan Abdul Samad kerana ramai pengunjung yang datang dan berikan mereka pembersih tangan mini yang boleh dibawa ke mana-mana.

“Usaha ini sebagai kesedaran kepada pengunjung untuk menjaga kesihatan sepanjang (musim) virus ini (masih ada), yang menjadi ‘kebimbangan kesihatan awam,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kedua-dua item kepada 18 wakil masjid sekitar ibu negara semalam.

Mujahid berkata pembersih tangan dan tisu basah akan diagihkan oleh wakil masjid kepada orang ramai termasuk jemaah dan pelancong asing.

Minggu lalu, media melaporkan beberapa masjid tumpuan pelancong ditutup kepada golongan itu susulan kebimbangan terhadap isu jangkitan koronavirus.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bukan dasar kerajaan untuk menghalang pelancong daripada mengunjungi lokasi yang menjadi tumpuan termasuk masjid.

-BERNAMA


Pengarang :