Seorang petugas Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan menggunakan penyukat suhu digital bagi mengukur suhu badannya sendiri ketika membuat saringan sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 di Lapangan Terbang Labuan pada 6 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Koronavirus: Operator pengangkutan awam diminta tingkat kebersihan

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Pengangkutan mengarahkan kesemua operator pengangkutan awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mencegah penularan koronavirus 2019, kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Dalam mesyuarat pasca Kabinet di sini semalam, beliau berkata semua agensi di bawah kementeriannya diarahkan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman tangan selain memastikan kebersihan tempat pengangkutan awam sentiasa terjaga.

“Semua pihak ada tanggungjawab dalam mencegah koronavirus. Setakat ini Kementerian Pengangkutan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Tahun Baharu Cina dan perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Loke berkata terminal pengangkutan awam yang dikendalikan pihak swasta juga disarankan mengambil langkah sama seperti di lapangan terbang.

Sehingga kini, Malaysia merekodkan 14 kes positif koronavirus membabitkan 10 warganegara China dan empat rakyat tempatan.

-BERNAMA


Pengarang :