Perayaan Thaipusam disambut masyarakat beragama Hindu di negara ini pada 8 Februari 2020. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Koronavirus: Orang ramai tidak perlu bimbang sambut Thaipusam

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Orang ramai terutama penganut Hindu tidak perlu bimbang untuk hadir pada sambutan perayaan Thaipusam Sabtu ini berikutan isu jangkitan koronavirus 2019, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mereka yang hadir untuk mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya seperti menjaga kebersihan, memakai penutup mulut dan hidung selain membuat pemeriksaan di pusat perubatan sekiranya jatuh sakit.

“Di negara kita, koronavirus ini sedang ditangani dengan profesional. (Wakil) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah memuji Malaysia dan Kementerian Kesihatan kerana berterus terang dan menangani (isu) koronavirus ini dengan cara yang berhemah.

“Jadi saya rasa tidak perlu khuatir cuma kena lebih berhati-hati,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Bantuan Dialisis bagi Golongan B40 Pertama Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) di sini semalam.

Program perintis itu dilancarkan bagi membantu golongan pesakit dialisis B40 dalam kalangan masyarakat India yang tidak menerima bantuan kebajikan atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk rawatan dialisis.

Sementara itu, Waytha Moorthy berkata Mitra telah mendapat kelulusan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.9 juta bagi membantu 99 pesakit dalam kalangan B40 yang layak untuk menerima bantuan rawatan selama setahun tempoh program itu.

Program itu adalah hasil kerjasama antara Mitra dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Yayasan St John Ambulans Malaysia, Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia dan Sai Ananda Foundation.

– BERNAMA


Pengarang :