Dua kakitangan Jabatan Kesihatan Johor Bahru memantau simptom demam penumpang yang keluar masuk dari Singapura bagi mencegah penularan Covid-19 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar pada 4 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Koronavirus: Satu lagi kes positif, jumlah terkini 15

PUTRAJAYA, 7 FEB: Satu lagi kes positif koronavirus 2019 dikenal pasti, menjadikan jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 15, setakat petang ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes terbaharu itu membabitkan seorang pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China, yang masuk ke Malaysia pada 21 Januari lepas.

Beliau berkata wanita itu bersama-sama suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Jan dan kemudiannya pergi ke Johor Bahru pada 21 Januari.

“Wanita itu mula mengalami gejala demam pada 26 Januari. Beliau tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya.

“Pada Rabu (5 Februari) beliau masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bharu menerima makluman daripada pihak pengurusan tempat penginapannya pada hari yang sama dan beliau telah dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

Bercakap pada sidang media di sini, Dr Dzulkefly berkata wanita itu kini berada di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru dan dalam keadaan stabil.

Katanya, suami wanita itu yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama dan didapati tidak bergejala. Namun, sampel calitan tekak telah diambil dan menunggu keputusan makmal.

“Wanita itu dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat. Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut.

“Buat masa ini, kita sedang melakukan proses pengesanan kontak pesakit ketika beliau menginap di pusat penginapan itu,” tambahnya.

Menteri itu berkata 15 kes positif itu membabitkan 11 rakyat China dan empat rakyat Malaysia.

Sebanyak 16 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

– BERNAMA


Pengarang :