Seorang pekerja membersihkan troli bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 4 Februari 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Koronavirus: Tempoh kuarantin kekal 14 hari

PUTRAJAYA, 11 FEB: Tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada 24 hari bagi mengesan jangkitan koronavirus 2019 buat masa ini, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun terdapat kajian di China mengatakan tempoh inkubasi virus mencecah 24 hari, kementerian setakat ini mengambil pendirian kajian lebih mendalam perlu dibuat berhubung perkara itu.

“Saya dapat input daripada perbincangan dengan pakar kementerian, (jika) menetapkan 24 hari tempoh inkubasi itu akan membawa implikasi pelbagai dan sukar untuk diterima ketika ini.

“Pelbagai penyelidikan akan bentangkan dapatan mereka, namun untuk ketika ini kami ambil sikap ia (dapatan kajian) adalah tentatif atau sementara, sehingga dapat pengesahan oleh pihak kami sendiri dan pihak WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia),” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan terkini wabak itu, hari ini.

Media hari ini melaporkan data terbaru berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit koronavirus di China mendapati tempoh inkubasi virus boleh mencecah 24 hari, bukan 14 hari seperti yang dikatakan sebelum ini.

Dalam keperkembangan sama, Dr Dzulkefly berkata tiada kes baharu positif wabak di Malaysia setakat petang ini, menjadikan kes positif kekal 18 orang, dengan tiga daripadanya disahkan sembuh dan bebas virus serta dibenarkan keluar hospital.

Beliau berkata 12 kes adalah warganegara China manakala enam rakyat Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :