Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
AGENDANASIONAL

Kumpulan cetus kekacauan, Syed Saddiq buat laporan polis

JOHOR BAHRU, 1 FEB: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang didakwa sengaja mencetuskan kekacauan di program Rapat Umum Armada Johor di Ulu Tiram di sini malam tadi.

Menerusi laman Facebook, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ketika program berlangsung, ada sekumpulan individu tidak dikenali datang mencetuskan huru-hara.

Beliau berkata tindakan kumpulan itu sangat ganas dan berbahaya.

“Mereka melemparkan kata-kata kesat, memaki-hamun dan menghalau kami. Kami mempunyai rakaman video wajah-wajah mereka yang terlibat untuk dijadikan bukti,” katanya dan menambah pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu polis menjalankan siasatan.

Menurut Syed Saddiq, Armada mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang sangat kotor, jahat dan tidak berdemokratik seperti itu.

Terdahulu, beberapa media melaporkan tindakan hampir 200 orang yang memakai kemeja-T berwarna merah atau hitam telah menyebabkan Syed Saddiq serta beberapa orang terpaksa beredar dari situ menerusi jalan belakang.

– BERNAMA


Pengarang :