Ketua Projek, Fatin Nabila Wahab bercakap kepada media ketika Program Santuni Bumi Sayangi Komuniti anjuran Universiti Selangor di Pangsapuri Ken Rimba, Shah Alam pada 2 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kutip RM1,500 hasil barang kitar semula bantu pihak memerlukan

SHAH ALAM, 2 FEB: Seramai 56 mahasiswa Fakulti Perakaunan dan Perniagaan Universiti Selangor berjaya memperoleh RM1,500 hasil dari kutipan barangan kitar semula termasuk minyak masak terpakai, kertas dan juga botol.

Ketua Projek Program Santuni Bumi Sayang Komuniti, Fatin Nabila Wahab berkata wang hasil kutipan itu kemudiannya disalurkan kepada penduduk Pangsapuri Ken Rimba yang kurang mampu termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal dan pesakit kanser.

“Kutipan barangan kitar semula ini dibuat dari sekitar Shah Alam bermula sejak Disember tahun lalu dan tamat pada Januari, baru-baru ini.

“Selain berjaya menjaga kelestarian alam sekitar kami berbangga kerana dapat membantu golongan yang amat memerlukan, semoga ianya memberi kesedaran kepada mahasiswa lain,” katanya ketika Program Santuni Bumi Sayang Komuniti.

Program itu anjuran Mahasiswa Pengurusan Projek dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Sistem Maklumat dan Analitik Perniagaan serta Kawasan Rukun Tetangga Pangsapuri Ken Rimba.

Pada program berkenaan,  mahasiswa bergotong royong di Pangsapuri Ken Rimba serta menanam pokok bidara dan pinang sebagai acara simbolik.


Pengarang :