Tunku Alizakri Alias. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KWSP: Jangan banding dividen sekarang dengan 10 tahun lepas

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Pencarum diminta tidak membandingkan dividen Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) yang diumumkan bagi 2019 dengan 10 tahun lalu, kata ketua pegawainya.

Tunku Alizakri Alias berkata tidak adil membuat perbandingan sedemikian kerana persekitaran kini berbeza.

“Tahun lalu ada perang perdagangan Brexit dan (kekecohan) di Hong Kong. Tahun ini pula ada Covid-19. Jika mahu lihat prestasi dividen, tengok prestasi kita berbanding tahun lalu dan 2018. Tengok juga amanah dan dana lain, betul ke kita cemerlang atau di bawah prestasi,” katanya selepas ditanya mengenai perbandingan tersebut.

KWSP mengumumkan dividen 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus untuk Simpanan Shariah bagi 2019, membabitkan agihan masing-masing RM41.68 bilion dan RM4.14 bilion.

Beliau berkata jika dinilai khusus pada prestasi saham, KWSP memberi pulangan jauh lebih baik daripada pengurus dana ekuiti lain.

“Kita kena fikirkan bagaimana prestasi KWSP berbanding saingan lain dari kelas aset. KWSP daripada segi saham sahaja beri pulangan lebih tujuh peratus. Daripada perspektif KWSP, kita sebenarnya sudah buat yang terbaik,” katanya.

KWSP menjangkakan 2020 akan menjadi tempoh yang lebih mencabar dengan kesan penularan Covid-19 mungkin mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global.


Pengarang :