Sebahagian pelancong menggunakan pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Langkah ketat penyedia pengangkutan tangani Covid-19

SHAH ALAM, 23 FEB: Penyedia pengangkutan awam babitkan laut, darat dan udara mengambil langkah mematuhi peraturan kesihatan serta keselamatan ketat supaya penularan wabak Covid-19 dibendung bukan hanya penumpang tetapi kakitangan mereka, lapor BH.

Ketua Pengawasan Keselamatan Korporat Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) Datuk Dr Mohd Razin Kamarulzaman berkata pembersihan dalaman pesawat dipertingkatkan, terutama pada perkhidmatan penerbangan laluan Tanah Besar China iaitu Taipei, Hong Kong dan Singapura.

Katanya, oleh kerana Covid-19, MAS memulakan penggantian penapis udara partikel keberkesanan tinggi bagi memastikan kecekapan pengaliran semula udara, sebagai tambahan langkah berjaga-jaga dan menyediakan kit penyakit berjangkit perubatan dalam setiap pesawat.

“Peralatan pakai buang seperti perkakas dan tuala dan membawa hidangan dari Kuala Lumpur untuk perjalanan pulang dari China juga mula digunakan buat masa ini. Selain itu, pihak kami melaksanakan saringan suhu badan terhadap penumpang ke China atau kembali ke tanah air,” katanya.

Bagi pengendali KLIA Express, regimen pembersihan yang ketat enam kali sehari di semua stesennya dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga dan juga untuk menimbulkan keyakinan penumpang, kakitangannya serta orang ramai untuk terus menggunakan pengangkutan awam.

ERL menggunakan pembasmian kuman lebih kuat ketika pembersihan untuk mengekalkan kebersihan piawai tinggi dengan menumpukan kepada lima bidang utama iaitu penumpang, kakitangan, kereta api, stesen dan kesedaran.

Begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengeluarkan kenyataan bahawa garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan akan diikuti oleh semua kakitangannya termasuk penggunaan wajib topeng muka di dua pintu masuk utama stesen kereta api di Johor dan Padang Besar, Perlis.

Sementara itu, Rapid KL turut mengambil langkah tambahan untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada wabak Covid-19 untuk lebih dari satu juta penumpang yang berulang-alik dengan perkhidmatan bas dan kereta api setiap hari dengan menetapkan pemeriksaan kesihatan pagi untuk pemandu basnya sebelum ditempatkan di laluan masing-masing.


Pengarang :