Perayaan Thaipusam disambut masyarakat beragama Hindu di negara ini pada 8 Februari 2020. Foto SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 1,800 ditugas pantau perayaan Thaipusam

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Lebih 1,800 petugas dan sukarelawan termasuk 300 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap sedia dalam memastikan sambutan perayaan Thaipusam berjalan lancar, terutamanya dalam mengawasi penularan koronavirus 2019.

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam Batu Caves, Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata 24 buah ambulans disediakan termasuk sebuah ambulans yang dikhaskan sebagai pusat kuarantin.

“Sekiranya ada penganut atau pengunjung menunjukkan gejala dijangkiti koronavirus mahupun influenza-like-illness (ILI), kita akan bawa mereka terus ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Penyelaras Keselamatan dan Perubatan Sambutan Thaipusam 2020 berkata selain itu, sebanyak lapan hospital kerajaan antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Hospital Ampang sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kes kecemasan.

Menurutnya, sebanyak 15 agensi terlibat menjadi sukarelawan termasuk ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Dalam pada itu, pihak kuil dan penganjur dengan kerjasama KKM turut menyediakan lima pusat kesihatan antaranya di pekarangan kuil Batu Caves, di tepi sungai (dalam kuil) serta di Stesen KTM Batu Caves,” katanya.

Katanya, dijangka lebih 1.5 juta orang hadir ke kuil di Batu Caves sepanjang perayaan itu yang bermula malam tadi hingga hujung minggu ini.

Kemuncak perayaan Thaipusam ialah perarakan pedati perak membawa arca Dewa Murugan yang bermula malam tadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun HS Lee dan dijangka tiba di Batu Caves, jam 3 petang hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :