Maria Chin Abdullah (tiga, kanan) bersama warga emas selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas Petaling Jaya di Taman Medan Jaya pada 22 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih banyak pusat sehenti warga emas dibuka di seluruh negara

SHAH ALAM, 22 FEB: Lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan dibuka di seluruh negara bagi menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata pusat sehenti di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan aktiviti dan program percuma kepada kumpulan sasar.

“Kewujudan pusat ini diharap dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas dan OKU.

“Selain itu, kita turut melantik pertubuhan bukan kerajaan untuk melatih golongan tersebut membuat kerja yang boleh menambah pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PAWE Petaling Jaya di Taman Medan di sini, hari ini.

Maria Chin Abdullah (tengah) melawat kemudahan Pusat Aktiviti Warga Emas di Petaling Jaya selepas merasmikannya di Taman Medan Jaya pada 22 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pusat aktiviti pertama di kawasan itu yang bakal beroperasi Mac ini menyediakan pelbagai kemudahan antaranya peralatan senaman dan set karaoke.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas JKM Selangor Aidah Md Tan berkata PAWE turut memberi peluang kepada golongan sasar mendapat maklumat berkaitan skim ditawarkan pihaknya.

“Melalui usaha ini, mereka tidak perlu lagi bersusah payah ke JKM kerana semua maklumat boleh didapati di PAWE,” katanya.

PAWE ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2035 yang menjurus kepada aspek keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan kesihatan dan latihan bersesuaian.

Sehingga hujung tahun lalu, sebanyak 88 PAWE ditubuhkan di seluruh negara yang memanfaatkan lebih 30,000 warga emas berdaftar.


Pengarang :