Selangorkini
Dato’ Seri Dr Sabin Samitah (tengah) bergambar bersama pengamal media pada Majlis Apresiasi Media di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 18 Februari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI.
AGENDA NASIONAL

LHDN kutip RM7.88 bilion hasil pengakuan sukarela

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip RM7.88 bilion membabitkan bayaran cukai, cukai tambahan dan penalti melalui Program Khas Pengakuan Sukarela.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Seri Dr Sabin Samitah berkata kutipan merangkumi 286,428 pembayar cukai di seluruh negara, bermula 3 November 2018 sehingga 30 September 2019.

Dato’ Seri Dr Sabin Samitah berucap pada Majlis Apresiasi Media LHDN di Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur pada 18 Februari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara LHDN dan agensi media yang membuat hebahan secara berterusan dan positif, malah setiap perkhidmatan yang ditawarkan lebih dikenali dan menjadi pilihan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media di Hotel Sunway Putra, hari ini.

Beliau berkata hubungan rapat dengan media juga membolehkan agensi itu mengutip cukai langsung tertinggi sebanyak RM145.11 bilion pada 2019, meningkat RM8.08 bilion atau 5.89 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada majlis tersebut, LHDN meraikan hampir 200 pengamal media dari pelbagai agensi antaranya Media Selangor, Media Prima, Astro Awani, Bernama dan Sinar Harian.

Sebanyak 12,746 laporan berita berkaitan LHDN dipaparkan media sepanjang 2019 merangkumi media cetak (8,408), elektronik (862) dan dalam talian (3,476).


Pengarang :