Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad tiba pada Program ‘International Conference On The Question Of Palestine Southeast Asian Support For The Rights of The Palestinian People’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mahathir gesa sokongan kolektif ASEAN terhadap hak Palestin

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa negara ASEAN supaya memperluaskan kesatuan barisan dalam menyokong hak rakyat Palestin.

Perdana Menteri interim berkata negara anggota ASEAN perlu terus bekerjasama bukan sahaja dalam pertumbuhan ekonomi, politik, etnik dan budaya tetapi juga dalam usaha menegakkan keadilan dan keamanan bagi mereka yang tertindas.

“Suara kolektif kami sepatutnya menyerlah lebih daripada sekadar pembangunan ekonomi tetapi juga harus memperluas kesatuan barisan dalam menyokong hak rakyat Palestin,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Persoalan Palestin ‘Sokongan Asia Tenggara Kepada Hak Palestin’ di sini semalam.

Dr Mahathir berkata semua platform yang disediakan, baik ASEAN dan bukan ASEAN, harus digunakan untuk terus menyuarakan kebimbangan dan menyatakan kemarahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam oleh rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin.

“Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab ini diperkuatkan lagi apabila negara berkuasa yang telah menonjolkan diri sebagai pembela keadilan dan kebebasan memilih untuk berdiam ketika kekejaman dilakukan.

“ Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih di mana ketidakadilan melampau berlaku,” katanya.

Dr Mahathir sekali lagi mengutuk rancangan perdamaian, ‘Deal of of the Century’ yang diumumkan oleh Amerika Syarikat bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

“Pengumuman unilateral yang disokong dan dihasut oleh Israel tanpa sebarang percubaan untuk mengadakan dialog atau rundingan dengan wakil Palestin dari Tebing Barat atau Gaza adalah satu penghinaan terhadap usaha antarabangsa mencari penyelesaian kepada krisis Palestin-Israel yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata rancangan damai itu mengetepikan isu-isu penting untuk penyelesaian, antaranya, menghapuskan hak pelarian Palestin kembali ke tanah air selepas terpaksa meninggalkan rumah masing-masing ketika Perang Arab-Israel 1948.

Dr Mahathir menegaskan dasar luar Malaysia terhadap Palestin kekal sama sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kami akan sentiasa menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia tetap berpendirian yang penubuhan negara Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin adalah diterima.

– BERNAMA


Pengarang :