Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir di Mahkamah Tinggi pada 6 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mahdzir: ‘Mem’ tahu tentang projek solar

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi di sini beliau dihubungi bekas pembantu Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar hibrid sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahdzir, 59, berkata Datuk Rizal Mansor menghubunginya mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan hanya memberikan projek rintis tenaga solar kepada Jepak Holdings Sdn Bhd sedangkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan untuk membatalkan sistem lama set generator atau genset diesel dan diganti dengan sistem baru iaitu “projek solar hibrid Jepak”.

“Datuk Rizal juga memberitahu saya, Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas perdana menteri) membuat keputusan dan Mem juga mengetahui projek solar hibrid Jepak. Beliau (Rizal) bertanya saya kenapa perlu buat syarat lain.

“Saya beritahu kepada Rizal ia keputusan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan dan saya hanya bersetuju dengan keputusan tersebut,” katanya ketika membacakan penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani.

Mahdzir berkata beliau tahu perkataan ‘Mem’ itu merujuk kepada Rosmah dan Rizal sebenarnya menelefon bagi pihak Rosmah.

Terdahulu, bekas menteri itu memberitahu mahkamah bahawa Najib mengarahkan Kementerian Pendidikan melaksanakan projek solar hibrid bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak bagi menggantikan projek genset diesel sedia ada.

Mahdzir berkata Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin bertemunya pada 2015 bagi membincangkan rancangan syarikat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar bagi penghasilan elektrik.

“Saidi merupakan kenalan lama saya sejak akhir tahun 90-an. Saidi telah berjumpa dengan saya dalam dua atau tiga bulan sebelum kementerian mendapat arahan Najib untuk pelaksanaan projek itu.

“Saya mempunyai tanggapan bahawa Saidi ingin mengambil alih keseluruhan projek genset diesel dengan bantuan saya tetapi saya menolak pemohonannya kerana kementerian masih terikat dengan kontrak sedia ada. Saidi pada masa itu hanya akur dengan kata-kata saya.

“Bagaimanapun, pada 23 Disember 2015, saya menerima arahan daripada Najib bagi melaksanakan projek solar hibrid Jepak yang disampaikan kepada saya melalui minit yang dicatatnya ‘bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama’.

“Antara Disember 2015 dan 31 Mei 2016, Saidi selalu meminta bantuan saya untuk menyegerakan permohonan projek solar hibrid dan memberikan projek itu kepada Jepak.

“Saya bagaimanapun tidak melayan permintaan Saidi dan kerap kali memberitahu bahawa beliau perlu menuruti proses pentadbiran dan menunggu maklum balas daripada pegawai kementerian,” katanya.

Bagaimanapun, selepas April 2016, rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah mendesaknya untuk memberikan projek itu kepada Jepak dan meminta menuruti sahaja arahan Perdana Menteri tanpa melalui proses teknikal.

“Saya pernah beritahu Saidi dan Rayyan bahawa kementerian mempunyai rancangan penyambungan sekolah di Sarawak ke talian grid elektrik dan pembatalan kontrak secara mendadak akan mendatangkan implikasi perundangan dan kewangan kepada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Mahdzir berkata mereka tidak berpuas hati dengan perkara itu kerana ia akan mengurangkan bilangan sekolah untuk projek solar hibrid.

Rosmah, 68, berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

-BERNAMA


Pengarang :