AGENDANASIONAL

Mahkamah benar Najib periksa barang dirampas SPRM

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga boleh menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang yang didakwa berhubung kait dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Ini susulan keputusan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini yang memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib dan ahli keluarganya secara fizikal memeriksa barang berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata, Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nooryana Najwa perlu diberi peluang untuk memeriksa barang yang dirampas itu.

Hakim berkata, responden (pendakwaan) yang bimbang terhadap aspek keselamatan boleh memastikan pemeriksaan itu dilakukan dalam premis yang dikawal oleh mereka dengan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan.

“Saya tidak mampu mengukur bagaimana pergerakan barang ini boleh menyebabkan kemerosotannya. Keutamaan saya adalah bagi membolehkan pemohon (Najib dan keluarganya) peluang untuk menyuarakan pembelaan mereka dalam hubungan permohonan pelucuthakan responden.

“Ini hanya boleh dilakukan jika mereka (pemohon) diberi hak untuk memeriksa barang yang dirampas itu. Berdasarkan kepada alasan mereka telah melakukannya dengan mendapat sokongan daripada permohonan mereka, sama ada pembelaan mereka itu patut atau pun sebaliknya adalah sesuatu yang akan saya tetapkan apabila membuat keputusan berhubung permohonan lucut hak,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini mengeluarkan arahan itu dengan syarat pemeriksaan itu dikendalikan di premis yang ditetapkan oleh pendakwaan dan hanya pemohon dibenarkan memeriksa barang berkenaan di bawah penyeliaan oleh pendakwa.

Beliau juga memerintahkan agar setiap pemohon diiringi oleh seorang peguam cara.

“Satu lagi syarat ialah pemeriksaan itu hanya dilakukan sekali dan dijalankan dalam tempoh dua minggu dari hari ini,” katanya.

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Rosmah dan Nooryana Najwa diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim, Azamuddin Abd Aziz, Azrul Zulkifli Stork dan Asmadi Hussin.

Timbalan pendakwa raya Fatnin Yusof dan Harris Ong Mohd Jeffery Ong bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 18 Julai tahun lepas, Najib mengemukakan notis usul bagi memeriksa dan mendapatkan butiran mengenai aset berkenaan.

Dalam notis usul itu, Najib, 67, memohon kepada pendakwa agar menyedia atau membekalkan gambar berwarna barang yang berkenaan serta diskripsi terperinci seperti label, simbol, kad hadiah, pakej dan kotak barang-barang berpindah itu yang dirampas pada 17 Mei, 2018.

Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan permohonan berdasarkan sebahagian kotak, beg tangan dan bekas yang dirampas itu telah disisihkan daripada bungkusan asal dan ini menyebabkan kekeliruan dalam proses untuk mengenal pasti.

Sementara itu, Rosmah, 69, dan Nooryana Najwa, 32, mengemukakan permohonan cuti bagi membenarkan pemeriksaan secara fizikal bagi barang yang berkenaan.

Antara barang yang disebut dalam kedua-dua notis itu ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM537,000, Pound Sterling 2,700, Sri Lanka Rupee 2,870,000, RM187,750 dalam Ringgit Malaysia wang lama dan 320,500 Pound Sterling.

-BERNAMA


Pengarang :