Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersalaman bersama Moon Jae-in semasa menerima kunjungan Presiden Korea Selatan itu di pejabatnya di Perdana Putra pada 13 Mac 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia, Korea Selatan rai ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Malaysia dan Korea Selatan hari ini meraikan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dengan pemimpin kedua-dua negara saling merakamkan ucapan tahniah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertukar perutusan tahniah dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, mencerminkan hubungan persahabatan yang erat sejak sekian lama.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Korea Chung Sye-Kyun turut saling mengucapkan tahniah, dengan kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknologi.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar Kang Kyung-wha juga antara pemimpin yang turut bertukar perutusan tahniah, dengan kedua-duanya berusaha meningkatkan koordinasi politik dua hala serta memberi tumpuan terhadap dasar serantau untuk kemakmuran bersama.

Selama 60 tahun, hubungan Malaysia dan Republik Korea Selatan kukuh dan padu dan dijangka terus berkembang tatkala kedua-dua negara terus melaksanakan konsensus yang digariskan pemimpin bagi meningkatkan kerjasama bermanfaat serta menggalakkan keamanan dan pembangunan serantau.

Jumlah dagangan pada 2019 adalah USD17.51 bilion dengan kedatangan pelancong Korea ke Malaysia meningkat kepada 508,080 bagi tempoh sama.

-BERNAMA


Pengarang :