AGENDA NASIONAL

Malaysia kurangkan kerenah birokrasi, selaras proses pelaburan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Malaysia akan melakukan pembaharuan proses pelaburan yang menyeluruh untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan untuk pelabur asing dan domestik, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Pelabur boleh menjangka kerenah birokrasi akan dikurangkan dan proses kelulusan akan diselaraskan untuk mempercepatkan proses merealisasikan pelaburan,” kata Menterinya, Datuk Darell Leiking.

Penambahbaikan itu berdasarkan maklum balas membina yang ditawarkan oleh pelabur dan pihak berkepentingan lain tentang cara untuk menambah baik proses pelaburan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Malaysia, menurut MITI.

MITI menyatakan pelaburan yang tertangguh bermakna kemakmuran tertunda.

“Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik berikutan kestabilannya, tadbir urus yang baik, kos yang berdaya saing dan lokasi yang strategik di tengah-tengah ASEAN. Pembaharuan akan membantu memastikan Malaysia mengekalkan lokasinya sebagai destinasi utama dan tempat kepada pelaburan berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia berusaha untuk kekal kepada hasratnya menjadi destinasi pelaburan pilihan untuk pelaburan yang inovatif dan berteraskan pengetahuan dalam sektor dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

Kerajaan akan terus mencari Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti dengan ciri-ciri teknologi tinggi dan nilai tambah tinggi. Pada masa sama, berdasarkan contoh ekonomi Jepun, Korea Selatan dan China, Malaysia cuba mendapatkan tumpuan baharu kepada menjadikan syarikat domestik kepada penggiat global.

Memandangkan pasaran Malaysia sendiri terlalu kecil untuk menawarkan skala yang diperlukan untuk daya saing global, syarikat perlu melihat kepada serantau dan pasaran dunia serta produk eksport dengan nilai tambah yang lebih baik.

MITI, bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), mempertimbangkan untuk mempelbagaikan eksport ke Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin pada tahun-tahun akan datang.

Kerajaan juga akan meningkatkan usahanya untuk memudahkan lebih banyak pelaburan langsung domestik dengan pengkhususan yang lebih besar dalam subsektor pemangkin, iaitu kimia dan produk kimia, elektrik dan elektronik, industri jentera dan peralatan, aeroangkasa dan peranti perubatan.

MITI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), dan semua agensi pelaburan untuk memastikan langkah-langkah yang relevan dan khusus untuk meningkatkan pelaburan domestik dimasukkan dalam pakej rangsangan yang akan diumumkan pada 27 Februari 2020.

– BERNAMA


Pengarang :