Selangorkini
Datuk Saifuddin Abdullah bersalaman dengan Dominic Raab (kiri) selepas sidang media di Wisma Putra pada 11 Februari 2020. Foto AFP
AGENDA NASIONAL

Malaysia, United Kingdom terokai bidang kerjasama baharu

PUTRAJAYA, 11 FEB: Malaysia dan United Kingdom (UK) sedang meneroka bidang kerjasama bukan tradisi meliputi pembaharuan kerajaan, membanteras rasuah dan menangani isu hak asasi manusia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada sidang akhbar bersama Setiausaha Luar UK Dominic Raab, menteri luar berkata Malaysia juga berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama parlimen dan antara rakyat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan dua hala semakin berkembang merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertahanan, minyak dan gas, latihan, pendidikan, budaya, teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan pelancongan; tetapi di bawah pentadbiran baharu, terdapat satu dimensi kerjasama baharu.

“Ia melangkaui kerjasama tradisi,” katanya selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan Raab di Wisma Putra, di sini hari ini.

Raab berada di Malaysia untuk mempromosikan UK sebagai destinasi perniagaan terbuka dan peneraju perubahan iklim, menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) pada 2020.

Saifuddin berkata Malaysia sentiasa menghargai UK sebagai rakan dialog penting, rakan perdagangan dan ekonomi serta sumber pelaburan penting.

“Malaysia sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan lebih banyak pelabur UK memanfaatkan potensi pelaburan di Malaysia. Kami juga menggalakkan pelabur menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke wilayah ASEAN,” katanya.

Malaysia turut maklum mengenai hasrat UK untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN susulan keluarnya negara itu dari Kesatuan Eropah dan berharap UK akan mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Sekretariat ASEAN, kata Saifuddin.

Beliau turut menyuarakan harapan UK akan meningkatkan import kelapa sawit dari Malaysia selaras komitmen berterusannya terhadap pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjelang 2020 serta peraturan dan standard antarabangsa yang lain.

Sementara itu, Raab berkata perbincangan hari ini turut menyentuh mengenai keupayaan UK untuk menyokong cita-cita Malaysia dalam reformasi pendidikan, pertumbuhan mampan dan perubahan iklim.

“Pertumbuhan mampan sesuatu yang sangat menarik kerana kedua-dua negara menghadapi cabaran perubahan iklim global, tetapi kita juga perlukan inovasi serta teknologi dan usahawan untuk mencari kaedah penyelesaian menangani isu itu,” katanya.

Mengenai kemungkinan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-UK, Raab berkata UK sedang berunding dengan Malaysia berhubung prospek untuk terlibat dalam perdagangan yang adil menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), turut ditandatangani Malaysia.

Beliau berkata UK juga akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk membanteras penghantaran secara haram sisa sampah plastik dari UK selain menggalakkan kepelbagaian biologi dan mencegah penebangan hutan.

“Saya sudah menerangkan mengenai sokongan kami terhadap usaha Malaysia untuk membersihkan laut dengan mengurangkan penggunaan plastik dan bahan buangan marin,” tambah Raab.

Selain itu, Saifuddin dan Raab turut berbincang perkara berkaitan perdagangan dan pelaburan, kedaulatan undang-undang, nasib Rohingya, Laut China Selatan dan COP26.

-BERNAMA


Pengarang :