Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menunjukkan carta aliran Prosedur Operasi Standard (SOP) Pewartaan Keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK) melalui kaedah penyiasatan awam di Semanjung Malaysia ketika sesi sidang media berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Empat lokasi gantian hutan simpan, 300 ekar lebih luas

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan Negeri.menyenaraikan empat kawasan cadangan sebagai gantian terus terhadap cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara seluas 930 hektar (2,300 ekar), kata Dato’ Menteri Besar.

Terus mengekalkan 30 peratus hutan simpan di Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saiz kawasan gantian itu menjadikan hutan simpan itu lebih luas 300 ekar berbanding sebelum proses pewartaan keluar dibuat.

Beliau berkata dua lokasi hutan ganti terletak di Sungai Panjang, Sabak Bernam manakala dua lagi di Kuala Selangor dan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, malah ia bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa, sebuah hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia..

“Penggabungan ini menjadikan kita (Selangor) sebagai negeri mempunyai hutan paya gambut terbesar di semenanjung dan kedua atau ketiga terbesar di Malaysia,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri di sini hari ini.

Menegaskan Selangor satu-satunya negeri yang membuat pendengaran awam untuk pewartaan keluar hutan simpan, Amirudin berkata proses tersebut masih pada peringkat cadangan dan terbuka kepada bantahan sehingga 5 Mac ini.

“Kita masih dalam proses kedua daripada pewartaan keluar hutan simpan kekal iaitu penyediaan salinan pelan kawasan dan laporan bertulis untuk proses hebahan serta penyiaran notis penyiasatan awam,” katanya.

Beliau berkata 40 peratus Hutan Simpan Kuala Langat Utara menjadi hutan rosot akibat kebakaran dan pencerobohan dan kawasan itu sesuai dibangunkan berikutan lokasinya turut terlibat dalam jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

 


Pengarang :