Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Penggantian hutan simpan lebih luas 121 hektar

SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan Negeri melaksana proses pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan menggantikan kawasan baharu berkeluasan lebih 121.4 hektar berbanding jumlah asal 930.7 hektar, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata sasaran itu akan menyaksikan peningkatan 32 peratus menjelang 2025 berbanding 31 peratus ketika ini meliputi kawasan kira-kira 250,209 hektar termasuk hutan darat asli, hutan paya gambut dan hutan paya laut.

“Sebarang pewartaan keluar akan digantikan terus dengan pewartaan masuk hutan simpan kekal dengan jumlah keluasan dan keadaan ekologi yang sama.

“Terdapat lebihan 121.4 hektar berbanding jumlah asal akan diganti dalam cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin pada sidang media semalam memaklumkan empat kawasan penggantian sedang diwartakan adalah masing-masing dua di Sungai Panjang daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Ampang Pecah.

Beliau berkata pihaknya turut memperakui hak Orang Asli di bawah undang-undang seperti diputuskan dalam kes Sagong Tasi dan akan mencari penyelesaian supaya penempatan mereta tidak diganggu.

“Warta tersebut belum dikeluarkan sebaliknya masih melalui proses penyediaan laporan bertulis dan hebahan serta notis penyiasatan awam. Sebarang pertikaian akan dinilai semula selepas proses bantahan berakhir 5 Mac hadapan,” katanya.


Pengarang :