Dato’ Amirudin Shari (kanan) meluangkan masa menziarahi Sabariah Arshad (kiri) ibu kepada Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan (Abam Bocey) di Kampung Sungai Salak, Gombak pada 21 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pengorbanan keluarga Abam Bocey dihargai

GOMBAK, 21 FEB: Pengorbanan Allahyarham Abam Bocey dan keluarganya yang banyak membantu pada sebelum dan selepas pilihan raya umum lalu amat dihargai, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau merakamkan takziah kepada keluarga dan isteri Abam, Siti Nurhidayah Md Ali, 28, berikutan kepulangannya ke rahmatullah pada 10 Februari lalu.

“Sebagai pemimpin setempat, saya bersimpati dengan pemergian anak seni kelahiran Gombak yang banyak menceriakan masyarakat.

“Difahamkan keluarga Abam banyak berjasa khususnya sepanjang pilihan raya umum lalu. Oleh itu saya menyanjung tinggi pengorbanan mereka,” katanya ketika menziarahi ibu Abam, Sabariah Arshad di Kampung Sungai Salak sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Sementara itu, Sabariah, 63, berkata kehadiran Dato’Menteri Besar mengejutkan dan tidak diduga berikutan jadual padat ditempuh setiap hari.

“Terima kasih tidak lupa melawat dan sehingga hari ini ramai yang ziarah kubur arwah turut singgah ke rumah makcik,” katanya.

Menurut adiknya, Ali Puteh, Abam atau nama sebenar, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia akibat demam panas.


Pengarang :