BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor sasar sumbang 30 peratus KDNK menjelang 2030

PETALING JAYA, 1 FEB: Selangor berazam menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) negara menjelang 2030 berbanding 23 peratus ketika ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata hasrat itu turut disokong dengan mewujudkan peluang kerja berkemahiran tinggi di samping menjadikan Selangor negeri pintar menjelang 2025.

“Kita juga bercita-cita menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terunggul di rantau ini yang dapat menyediakan 60 peratus peluang dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Berucap pada Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Selangor di Dataran Petaling Jaya beliau berkata pada suku ketiga 2019, Selangor menerima pelaburan RM16.4 bilion bagi sektor pembuatan sepanjang Januari hingga September 2019.

Katanya, jumlah itu melangkaui sasaran RM10 bilion sekaligus menjadikan Selangor berada di kedudukan teratas antara negeri lain.

“Ini membuktikan kestabilan politik dan pentadbiran Selangor, dasar mesra pelabur dan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi menjadi antara faktor penarik yang berjaya menambat hati pelabur untuk menjadikan Selangor destinasi pelaburan pilihan.

“Semoga kecemerlangan ini menjadi pendorong Kerajaan Negeri terus bekerja keras bagi meneruskan tradisi Selangor kekal menjadi nadi pembangunan negara dan paksi ekonomi nasional,” katanya.


Pengarang :