BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB tekad hormati mandat rakyat Selangor

SHAH ALAM, 25 FEB: Dato’ Menteri Besar dan pentadbiran Selangor berikrar untuk terus menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat kepada negeri dan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, menyatakan tekad itu selepas mengetuai rombongan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat negeri Selangor pada pilihan raya umum 2018 yang lepas dan Tuanku memberi perkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir di Istana Bukit Kayangan di sini, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi AMANAH Selangor Ir Izham Hashim.

Berikut kenyataan penuh Dato’ Menteri Besar:

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada saya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, YB Gobind Singh Deo, Pengerusi DAP Selangor dan YB Ir Izham Hashim, Pengerusi AMANAH Selangor menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pagi ini.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Negeri Selangor pada Pilihanraya Umum 2018 yang lepas dan Tuanku memberi perkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa.

Terdahulu saya telah bermesyuarat dengan pengerusi parti-parti komponen kerajaan termasuk YB Dato’ Abdul Rashid Asari selaku Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Selangor bagi membincangkan hala tuju Selangor.

Justeru pentadbiran ini berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya.


Pengarang :