Pelajar yang hadir mengambil peluang berswafoto bersama Dato’ Seri Amirudin Shari selepas Program Temu Rapat Dan Makan Malam Sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 28 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: UKM bakal jadi pusat pembentukan, latihan negeri pintar

BANGI, 29 FEB: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih menjadi pusat pembentukan dan latihan negeri pintar (smart state), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan universiti menjadi salah satu elemen penting pembangunan Selangor.

“Nak tahu lagi berkaitan Smart State (negeri pintar), insya-Allah kita ada kerjasama dengan UKM sebenarnya dan saya baru dapat berbincang dengan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), kita telah bekerjasama dengan UKM.

“Hanya UKM yang dipilih untuk dijadikan pusat pembentukan dan latihan Smart State, akan kita rasmikan bila-bila sahaja tahun ini,” katanya pada Temu Rapat dan Makan Malam sempena Jelajah Maju Bersama Bersama Dato’ Menteri Besar di UKM, semalam.

UKM merupakan universiti pertama dipilih dalam siri Jelajah Maju Bersama tahun ini selepas Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 2019.

Amirudin berkata berbaki lima tahun menjelang sasaran menjadi negeri pintar pada 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta bagi merangka dan mempercepatkan proses pembentukan itu seperti digariskan dalam pelan induk yang disiapkan pada 2016.

Pada pertemuan sama Dato’ Menteri Besar turut menasihat pelajar supaya mengawal emosi dan berfikir secara sihat serta rasional supaya semangat untuk belajar kekal sehingga tamat pengajian.

Katanya, subsidi besar ditanggung kerajaan dalam sektor pendidikan serta pengorbanan ibu bapa yang meletakkan harapan besar perlu diganti dengan keputusan cemerlang.


Pengarang :