Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar kenangan ketika menziarah rumah mantan ketua kampung Khalid Mohd Noor di Kampung Melayu Batu Caves Selatan pada 21 Februari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB ziarah keluarga mantan ketua kampung kematian anak

BATU CAVES, 21 FEB: Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini meluangkan masa menziarahi keluarga mantan Ketua Kampung Melayu Batu Caves Selatan Khalid Mohd Noor, yang kehilangan anak bongsunya.

Dalam kunjungannya, Dato’ Menteri Besar turut mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut selepas tidak sempat berbuat demikian pada hari kejadian.

“Khalid merupakan ketua kampung selama dua penggal dan baru sahaja kehilangan anak dua minggu lalu tetapi saya tidak dapat hadir. Jadi, saya hadir hari ini untuk menyampaikan ucapan takziah,” katanya selepas meluangkan masa hampir setengah jam di kediaman keluarga berkenaan, di sini.

Sementara itu, Khalid yang mengenali Amirudin hampir 10 tahun sejak berkhidmat sebagai ketua kampung pada 2008 berterima kasih dan bersyukur atas kunjungan tersebut.

“Selama saya menjadi ketua kampung, beliau adalah wakil rakyat yang terbaik. Lebih 150 kali beliau turun padang menyertai program di kampung ini.

“(Kami) sudah seperti adik-beradik, beliau dan isteri (Datin Seri Masdiana Muhamad) banyak membantu termasuk ketika kami membuat kenduri arwah baru-baru ini,” luahnya.

Pada 8 Februari lalu, Khalid kehilangan anak bongsunya Allahyarham Muhammad Daud, 26, yang lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Timah, Bukit Beruntung.


Pengarang :