Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

MBSA: 75,000 notis sekatan urusniaga, tindakan mahkamah

SHAH ALAM, 29 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 75,000 notis sekatan urusniaga dan tindakan mahkamah (i-Sekat) bernilai RM172 juta terhadap individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan dengan pihak berkuasa tempatan itu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya, Shahrin Ahmad berkata notis i-Sekat bagi Siri 1/2020 dikeluarkan terhadap mereka yang mempunyai nilai tunggakan melebihi RM600.

“Bayaran tunggakan perlu dijelaskan mengikut tarikh ditetapkan atau pada 31 Mac 2020. Penerima notis perlu memuat turun aplikasi SnapNPay dan mengimbas kod QR yang tertera pada notis untuk membuat semakan bagi menjelaskan pembayaran dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bermula tahun ini pihaknya mengeluarkan notis sekatan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada Februari, Ogos dan November.

Jika pemohon mempunyai tunggakan, permohonan mereka akan disekat semasa pembelian atau penghantaran dokumen di kaunter MBSA.

“Tunggakan merangkumi kompaun tempat letak kereta, cukai taksiran, lesen, sewa, bil elektrik (premis MBSA) dan kos pembersihan lot kosong,” katanya.


Pengarang :