Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) ketika menghadiri Forum Bandar Sedunia ke-10 di Pusat Pameran Antarabangsa Abu Dhabi pada 10 Februari lalu. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBSA bentang laporan Matlamat Pembangunan Lestari di Abu Dhabi

SHAH ALAM, 11 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentang laporan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di Pusat Pameran Antarabangsa Abu Dhabi, semalam.

Pembentangan dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Forum Bandar Sedunia ke-10 (WUF10) yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin serta beberapa EXCO negeri.

Amirudin melalui hantaran Twitter hari ini turut berharap MBSA melakar sejarah selaku bandar pertama membentang laporan SDGs di New York, Amerika Syarikat pada Julai ini.

“Saya percaya Shah Alam berada pada landasan tepat untuk meningkatkan sistem penyampaian bagi merealisasikan hasrat pembangunan bandar pintar,” tulisnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata inisiatif tersebut membuka ruang kepada MBSA mempamerkan amalan terbaik kepada masyarakat dan memastikan ketelusan serta akauntabiliti kemajuan tempatan.

“Shah Alam juga merupakan antara bandar terpilih dalam membangunkan projek sedia ada dan baharu selain perkongsian amalan terbaik dengan bandar lain di seluruh dunia.

“Visi kita menjadikan Kajian Sukarela Tempatan Shah Alam sebagai contoh pertama bagi mengintegrasikan antara SDGs dan Agenda Perbandaran Baharu dalam pendekatan yang sistematik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Pengarang :