Yang dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin (kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif MGCC, Shamsul Bahar Mohd Nor (dua dari kiri) selepas Majlis Pertukaran Dokumen MoU My Relamp Project di Hotel Marriot Putrajaya pada 27 Februari. Foto ihsan Facebook MDHS
PBTSELANGOR

MDHS, MGCC meterai MoU My Relamp Project

SHAH ALAM, 29 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGCC) bagi pelaksanaan aktiviti penukaran lampu biasa kepada lampu cekap tenaga, menerusi My Relamp Project, kelmarin.

MDHS diwakili Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin manakala MGCC oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Bahar Mohd Nor dalam majlis diadakan di Hotel Marriot Putrajaya.

Jurucakap Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, memaklumkan MDHS antara empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang terpilih untuk merintis projek berkenaan.

“Projek rintis bagi pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) di peringkat PBT ini turut disertai Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Langkawi dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang sebagai usaha menyokong inisiatif bandar rendah karbon.

“Ia dibiayai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit, sebuah agensi pakar teknikal dilantik Kerajaan Jerman dan MGCC dilantik sebagai agensi pelaksana,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam majlis sama, MDHS turut menerima plak National Building Energy Label daripada Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan pencapaian penarafan tiga bintang.


Pengarang :