Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor bergambar bersama pengamal media pada majlis Penghargaan dan Anugerah perkhidmatan cemerlang MDKL 2019 di Dewan Seri Jugra, Banting. 28 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MDKL hargai peranan media sampaikan maklumat

KUALA LANGAT, 29 FEB: Peranan Media Selangor dalam melaporkan berita mendapat penghargaan apabila 12 kakitangan mengungguli Anugerah Media bagi kategori media cetak dan televisyen daripada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Lima kakitangan itu terdiri daripada akhbar SelangorKini iaitu Penolong Pengarang, Hafizan Taib, Wartawan Kanan, Nazli Ibrahim, Ketua Wartawan, Mohamad Nor Syafiq Mohamad Redzuan serta Wartawan Norhayati Umor dan Wan Muhammad Zareef Muzammil Wan Zulfikri.

Manakala TV Selangor dianugerahkan kepada Penolong Penerbit, Anna Farina Abdul Rauf, Ahmad Nahar Sulaiman dan Ashkhairul Zafrishah Mohd Ashraf termasuk Jurukamera, Hanafi Mohamed, Razif Mat Arbak, Muhammad Naim Abu Bakar serta Wartawan Penyiaran, Siti NoorAminah Othman.

Selain Media Selangor, beberapa media lain turut sama diberikan pengiktirafan pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 MDKL di Dewan Sri Jugra, Telok Datok di sini semalam.

Mereka menerima sijil penghargaan dan wang saguhati yang disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor dan Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid.

Mohamad Zain dalam ucapan berkata pengiktirafan itu sebagai menghargai agensi media yang banyak membantu dalam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti dan program dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Tugas pengamal media masa kini amat mencabar seiring dengan kepesatan dan pembangunan negeri serta negara.

“Justeru, mereka wajar diberi penghargaan atas kerjasama dan sokongan terhadap Kerajaan Negeri umumnya dan MDKL khususnya,” katanya.


Pengarang :